Justeru, usahawan yang
membudayakan kreativiti dan inovasi di dalam model perniagaan mereka, akan
lebih bergerak maju dan berjaya berbanding usahawan yang kekal dengan model
perniagaan tradisional, yang hanya mementingkan jualan semata-mata.
Kreativiti dan inovasi di dalam
dunia perniagaan boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Antaranya melalui produk,
perkhidmatan, jenama, model perniagaan dan pemasaran. Dengan kreativiti dan inovasi, sebarang
produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, akan membentuk keunikan dan berbeza
dengan produk atau perkhidmatan yang sama yang telah sedia ada di pasaran. Di
Malaysia, kita mungkin mempunyai lebih 100 pengeluar kicap.
Tetapi apa yang membezakan 100 pengeluar
kicap tadi sehingga pengguna dapat membezakan di antara kicap milik Abu dan
kicap milik Ali? Jawapannya adalah sejauh mana kreativiti dan inovasi digunakan
bagi menonjolkan kelainan dan keunikan produk masing-masing.
KREATIVITI
MENINGKATKAN REPUTASI PERNIAGAAN
Bagi menjelaskan bagaimana kreativiti dan
inovasi boleh membawa perubahan besar terhadap kedudukan dan reputasi
perniagaan, saya bawakan contoh syarikat Google Inc. Semua sedia maklum,
terdapat banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan carian laman web dan
perkhidmatan emel.
Antaranya Yahoo dan Bing untuk
enjin carian, dan Yahoo Mail dan Hotmail untuk perkhidmatan emel. Namun, apa
yang membezakan enjin carian dan perkhidmatan emel Google dengan enjin carian
dan perkhidmatan emel dari syarikat lain?
Jawapannya sekali lagi berkait
rapat dengan kreativiti dan inovasi. Google memberi nafas baru kepada dunia
carian web dengan menggabungkan pelbagai metod dan sumber carian seperti carian
gambar, peta, berita, buku dan sebagainya di dalam satu portal carian.
Malah, enjin carian Google juga
diintegrasikan bersama perkhidmatan emel di dalam satu akaun yang dikenali
sebagai Google Account. Jika anda telah memiliki Google Account, anda boleh
mengakses hampir ke semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google seperti
Gmail, Blogger dan YouTube. Bagi perkhidmatan emel pula,
Google telah melakukan satu inovasi yang cukup menakjubkan di mana fungsi emel
dan teknologi pengkomputeran awan, atau cloud computing telah gabungkan. Setiap fail lampiran yang
berbentuk dokumen seperti dokumen berformat PDF, Microsoft Word, Excel dan
Powerpoint tidak perlu dimuat turun untuk melihat atau membuka kandungannya.
Kita hanya perlu klik pada pautan ‘view’ atau ‘lihat’ pada lampiran,
dan satu tetingkap atau tab akan dibuka bagi memaparkan dokumen di dalam
lampiran tersebut.
Tidak berhenti setakat itu,
dokumen dalam lampiran tadi boleh diubah suai menggunakan perkhidmatan Google
Docs, yang mampu berfungsi sebagaimana perisian pejabat seperti Microsoft
Office atau Open Office. Dokumen tadi pula boleh disimpan
di dalam storan yang disediakan oleh perkhidmatan Google Docs ini. Ini
bermakna, kita boleh melakukan tugasan pejabat harian hanya menggunakan
perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google. Apa yang perlu hanya
sambungan internet. Itu antara bentuk kreativiti dan
inovasi yang dilakukan oleh Google bagi memaparkan kelainan dan membentuk
keunikan terhadap perkhidmatan enjin carian dan perkhidmatan emel yang
ditawarkan.
Justeru, jika kita merupakan
seorang pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan, cuba terapkan nilai
kreativiti dan inovasi di dalam perniagaan anda. Galakkan pekerja-pekerja kita
memberikan sebarang idea bagi menyemai elemen kreativiti dan inovasi.
Kreativiti dan inovasi bermula dengan idea. Justeru,
latih diri kita dan orang di sekitar kita untuk menghormati dan menghargai idea
yang dilontarkan oleh orang lain kerana kita tidak
tahu, idea tersebut mungkin akan membawa perubahan besar terhadap perniagaan
kita.
Azizi Zulkefli. (Jun,28 2011) Kepentingan kreativiti dan inovasi dalam perniagaan. Dicapai pada (Mac,12 2015). Daripada
http://www.majalahniaga.com/kepentingan-kreativiti-dan-inovasi-dalam-dunia-perniagaan.html


No comments:
Post a Comment